Definisi Khurafat


  


Maksud khurafat menurut Kamus Dewan ialah kepercayaan karut yang di ada-adakan berpandukan kepada perbuatan-perbuatan dan kejadian alam yang berlaku. Manakala menurut Kamus Bahasa Arab ialah cerita-cerita yang mempersonakan yang dicampuradukkan dengan perkara dusta ( al Mujam al Wasit). Istilah Tahayul pula bermaksud semua cerita sama ada khayalan atau rekaan, ajaran-ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan-ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran Islam. Tahayul meliputi cerita-cerita yang mempersonakan dan bercampur aduk dengan perkara- perkara yang dusta.

Pengertian khurafat dalam Islam ialah semua cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran-ajaran., pantang-larang, adat istiadat, ramalan-ramalan. pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran Islam. Khurafat ialah suatu kepercayaan dan perbuatan karut yang dianggap mempunyai hubungan dengan agama Islam sedangkan pada hakikatnya ia sebenarnya dilarang oleh agama Islam kerana bertentangan dengan konsep tauhid dan syariat dalam Islam. Selain itu, hal ini dapat memesongkan akidah kita sehingga boleh mengakibatkan kita menyekutukan Allah. 

Amalan khurafat mengalih pergantungan manusia daripada khalik iaitu Allah kepada makhluk yang dicipta oleh Allah. Secara mendalam lagi, amalan khurafat melibatkan perbuatan, ungkapan kata, cerita atau kisah, benda seperti batu, kayu atau tanah, konsep prinsip atau aliran fahaman yang dipercayai dan diiktikadkan dengan yakin boleh mendatangkan manfaat ataupun mudarat kepada seseorang. Dari Abu Hurairah R.A. berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda bermaksud, '' Tidak ada jangkitan (yang berlaku tanpa izi Allah), tidak ada malang pada burung hantu dan tidak ada bala pada bulan Safar (seperti yang dipercayai). " Amalan khurafat juga berkait rapat dengan perkara-perkara ghaib setiap kepercayaan, perlakuan di ikuti dengan perkara ghaib. Mempercayai perkara ghaib adalah salah satu perkara yang termasuk dalam iman.

Namun demikian, amalan khurafat ini mengalir pergantungan manusia kepada Allah s.a.w kepada makhluk yang mana menjadi salah satu bentuk penyelewengan dalam akidah Islam. Khurafat terbahagi kepada dua iaitu khurafat yang tidak merosakkan akidah seperti dongeng berkaitan dengan budaya dan adat resam, tidak berkaitan dengan ketuhanan. Manakala khurafat yang merosakkan akidah iaitu melibatkan ibadat dan ketuhanan seperti pemujaan, bersemah dan membuat ancak. Dapat juga disimpulkan bahawa khurafat ialah perkara yang mempersonakan yang berbentuk rekaan atau dogeng, karut dan menyimpang daripada ajaran Islam.





No comments:

Post a Comment